Kurang 36 jam, Masjid Jamek Ar-Ridzuan terima sumbangan hampir RM2 juta

Bagan Serai: Hanya dalam tempoh kurang 36 jam selepas kisah Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu disiarkan, pengurusan masjid berjaya mengumpulkan dana hampir RM2 juta sekali gus mencukupi untuk menebus kembali tanah wakaf yang sudah dimiliki individu bukan Islam itu.

Pengerusi masjid itu, Yusuf Majid berkata, sebanyak RM1,977,482.20 berjaya dikumpul setakat 8 malam tadi, melebihi jumlah RM1.8 juta yang ditetapkan pemilik tanah untuk urusan jual beli.

Susulan itu, katanya, pihaknya menutup kutipan sumbangan secara rasmi pada 8.30 malam dan sudah memaklumkan perkara itu kepada semua pihak yang terbabit, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan individu membantu menjayakan kutipan ini.

“Laporan mengenai penutupan sumbangan seperti yang ditularkan itu benar. Esok selepas solat Maghrib kita akan buat sesi penutupan memaklumkan kepada semua yang dana kita mencukupi menebus tanah itu untuk masjid ini,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *