
Sembilan Ahli Parlimen PKR menggesa kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara serta keputusan-keputusan mahkamah yang menimbulkan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.
Menurut Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, isu pelantikan ke jawatan tertinggi badan kehakiman ini perlu ditangani segera kerana keadaannya kini dilihat menyerupai skandal video VK Lingam pada tahun 2007, yang ketika itu melibatkan dakwaan cubaan mempengaruhi pelantikan Ketua Hakim Negara.
