Bangunan Sultan Abdul Samad kembali meriah, tarikan utama pelancong

KUALA LUMPUR: Bangunan Sultan Abdul Samad sekali lagi mencuri tumpuan pelancong asing dan tempatan selepas dibuka semula kepada orang ramai semalam, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai ikon warisan dan tarikan pelancongan utama di ibu negara.

Keindahan seni bina Moorish yang unik serta nilai sejarah yang tinggi menjadikan bangunan bersejarah itu terus menjadi pilihan pengunjung dari dalam dan luar negara, selain melambangkan identiti serta kebanggaan Kuala Lumpur.

Pelancong dari Perancis, Manon Noblet, 23, berkata kunjungannya ke bangunan berkenaan didorong oleh minat untuk mengenali sejarah dan budaya Malaysia dengan lebih mendalam.

“Kami mengetahui mengenai bangunan ini melalui internet dan menganggapnya sebagai salah satu lokasi wajib dikunjungi. Saya dan rakan-rakan sangat tertarik untuk melihat sendiri keunikan seni binanya serta mempelajari sejarah Malaysia.

“Kawasan ini sangat cantik, tenang dan kaya dengan elemen semula jadi, menjadikannya pengalaman yang sangat bermakna,” katanya.

Sementara itu, pelancong dari Amerika Syarikat, Rebecca Bounds, 46, berkata lawatan bersama keluarganya ke Malaysia merupakan pengalaman pertama yang amat mengujakan, terutamanya apabila berpeluang mengunjungi tapak bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad.

“Saya berasa sangat teruja dan gembira dapat berada di sini. Selain bangunannya yang indah, kami turut menikmati layanan mesra rakyat tempatan serta persekitaran yang bersih dan menenangkan.

“Sebelum ke Malaysia, saya mendapatkan maklumat di media sosial mengenai lokasi pelancongan yang menarik dan bangunan ini sering disenaraikan,” katanya.

Pelbagai aktiviti dan mudah diakses

Menurut Rebecca, bangunan ikonik itu turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung, termasuk pameran sejarah ibu kota menggunakan miniatur serta paparan informasi yang interaktif, selain lokasinya yang strategik dan mudah diakses melalui pengangkutan awam.

Dalam pada itu, pengunjung tempatan dari Negeri Sembilan, Siti Rubiah Mohd Ramli, 61, berkata beliau akhirnya berpeluang menjejakkan kaki ke dalam bangunan bersejarah tersebut selepas puluhan tahun hanya mengagumi keindahannya dari luar.

“Saya menunggu hampir 50 tahun untuk masuk ke bangunan ini. Sebelum ini, kami hanya dapat melihatnya dari luar sahaja. Bangunan ini sangat cantik dan agak sayang kerana dulu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kerja pengubahsuaian yang dilakukan benar-benar memberi nafas baharu dan menjadikan bangunan ini antara mercu tanda ikonik yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *