Malaysia Tiada Hasrat Anjur Semula F1

Malaysia tidak bercadang menganjurkan semula kejohanan Formula 1 (F1) memandangkan kos yuran hak penganjuran dan penyediaan fasiliti yang tinggi dan kalendar perlumbaan yang padat.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata banyak perkara yang perlu dipertimbangkan termasuk perbelanjaan yang perlu ditanggung mencecah RM300 juta setiap tahun sekiranya kerajaan mahu menganjurkan semula kejohanan berprestij itu.

“Penganjuran kejohanan F1 di Malaysia setiap tahun akan memerlukan kerajaan untuk melabur sekitar RM300 juta setahun untuk membayar yuran hak penganjuran kepada Liberty Media, iaitu pemegang hak komersil F1.

“Secara amnya, Malaysia perlu mengikat kontrak penganjuran sepanjang tiga hingga lima tahun dengan Liberty Media dan ini akan melibatkan komitmen yuran hak penganjuran kejohanan F1 sekitar RM1.5 bilion untuk tempoh berkenaan.

Beliau menjawab pertanyaan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) sama ada Malaysia boleh menghoskan kejohanan F1 lagi.

Dengan penjimatan sebanyak itu, Yeoh berkata kementerian dapat melaksanakan program pembangunan 20 jenis sukan membabitkan seramai 363 atlet podium serta 9,834 atlet pembangunan bakat dengan kos keseluruhan sebanyak RM124.1 setahun.

Dengan jumlah RM300 juta juga, beliau berkata kementerian mampu menampung beberapa kali ganda pelaksanaan program pembangunan bakat, iaitu bersamaan dua tahun atau empat tahun penuh.

“Selain itu, peruntukan kos penyediaan litar sebanyak RM10 juta boleh menampung program Road to Gold (RTG) setahun.

“Bukan itu saja, dengan jumlah yang sama, kerajaan memperuntukan Geran Padanan Sukan (GPS) yang bernilai RM30 juta setahun untuk tempoh 10 tahun.

“GPS ini amat penting kerana ia merangsang pertumbuhan ekonomi sukan melalui penglibatan sektor swasta dalam penganjuran acara sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Kejohanan F1 mula dianjurkan di Malaysia pada 1999, menjadikan negara pertama di Asia Tenggara.

Malaysia terus menjadi antara destinasi perlumbaan F1 selama 19 tahun, tetapi akibat yuran penganjuran yang meningkat saban tahun dan kehadiran penonton semakin lama semakin berkurangan, Malaysia memutuskan untuk menghentikan penganjuran F1 pada 1 September 2017.

Ikuti kami di Media Sosial

Facebook : Selangor Gazette
X : @selangorgazette
Instagram : @selangorgazettegazette
TikTok : Selangor Gazette
Threads : Selangor Gazette
Youtube : Selangor Gazette

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *