
Kelab gergasi J-League, Cerezo Osaka, secara rasmi mengumumkan kehadiran Dion Cools, pemain pertahanan utama skuad Harimau Malaya.
Pemain kacukan Malaysia-Belgium itu menamatkan tempoh dua musimnya bersama Buriram United, di mana beliau berjaya merangkul beberapa kejuaraan termasuk Thai League 1 dan Shopee Cup.
“Saya sangat gembira dapat datang ke Jepun, terutamanya ke Osaka. Saya amat bersyukur dengan peluang ini. Saya tak sabar untuk berjumpa dengan rakan sepasukan, jurulatih, peminat dan penyokong tidak lama lagi!”
– Dion Cools
Dion turut menyatakan tekadnya untuk memberikan persembahan terbaik dan membantu pasukan meraih sebanyak mungkin kemenangan sambil mengejar matlamat peribadinya.
Beliau dijangka menyertai sesi latihan Cerezo Osaka sebaik sahaja selesai melaksanakan tugas bersama skuad kebangsaan Malaysia, yang bakal menentang Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
