Jawatan MB Hanya Untuk Anak Jati – Noh Omar

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Noh Omar, melontarkan cadangan berani agar Perlembagaan Negeri Selangor dipinda bagi menetapkan kriteria jawatan Menteri Besar hanya layak disandang oleh anak jati negeri itu.

Langkah tersebut disifatkan sebagai wajar dan kritikal bagi memastikan nakhoda pentadbiran negeri benar-benar menyelami serta menghayati setiap titah serta denyut nadi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, demi kemaslahatan rakyat.

Membidas prestasi pentadbiran sedia ada, Noh menyifatkan kerajaan negeri hari ini seolah-olah meletakkan nasihat baginda di pinggiran. Beliau menggunakan tamsilan ‘mencurah air ke daun keladi’ bagi menggambarkan sikap acuh tidak acuh pentadbiran Selangor terhadap teguran Istana.

“Pada pandangan saya, kerajaan hari ini dilihat tidak akur dan tidak melaksanakan titah Tuanku,” tegas beliau dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Noh turut mengingatkan semula amanat Sultan Selangor yang sebelum ini menekankan kepentingan blok pembangkang sebagai ejen semak dan imbang. Menurut beliau, elemen itu penting bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti, dan berhemah, namun ia seakan-akan tidak diendahkan.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut memetik insiden melibatkan wakil rakyat DAP yang didakwa mempertikaikan titah baginda berhubung larangan penternakan babi di negeri ini.

Walaupun mengakui hak bersuara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), beliau mengingatkan bahawa setiap wakil rakyat terikat dengan prinsip Rukun Negara khususnya Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Selain isu dasar, Noh turut menyuarakan kemarahan terhadap hantaran jelik di media sosial yang menghina Sultan Selangor. Beliau menggesa pihak berkuasa agar tidak berkompromi dengan anasir yang cuba menggugat kedaulatan institusi beraja.

“Kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera menyiasat dan mendakwa mereka yang biadap dan kurang ajar ke muka pengadilan,” tegasnya lagi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *