KUALA SELANGOR, 7 Ogos – Kutipan tol di Plaza Tol Eco Grandeur, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), mula berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam tadi selepas lebih lapan bulan pengguna menikmati laluan tersebut secara percuma.
Kemudahan tol percuma itu diberikan sejak pembukaan rasmi plaza berkenaan pada 11 November 2025 bagi memberi peluang kepada pengguna membiasakan diri dengan laluan baharu yang menghubungkan kawasan Eco Grandeur dan sekitarnya.
Dengan pelaksanaan kutipan tol bermula hari ini, semua pengguna yang melalui Plaza Tol Eco Grandeur dikehendaki membuat bayaran mengikut kadar tol yang telah ditetapkan oleh pihak konsesi.
Plaza Tol Eco Grandeur merupakan antara akses penting di Lebuhraya LATAR yang menghubungkan beberapa kawasan pembangunan pesat di Kuala Selangor, Puncak Alam dan Shah Alam, sekali gus menjadi laluan alternatif kepada pengguna yang berulang-alik ke Lembah Klang.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi bagi melancarkan perjalanan dan mengelakkan sebarang kesesakan di lorong tol.

