LANGKAWI Bergema dengan LIMA’25: Pameran Inovasi Pertahanan Bertaraf Dunia

LANGKAWI:
Langit biru Langkawi kembali bergema dengan deruman enjin pesawat tempur, manakala lautan birunya beriak megah menyambut kehadiran aset pertahanan dari serata dunia sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Dengan tema “Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan”, edisi ke-17 pameran dwitahunan ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), malam tadi.

Seawal jam 8.30 pagi, suasana di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dimeriahkan dengan Opening Gambit oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Gimik pelancaran turut disempurnakan oleh Perdana Menteri bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pada sebelah petang, ‘Maritime Gracing Ceremony’ diadakan di Resorts World Langkawi (RWL) yang turut menyaksikan perbarisan armada (fleet review) — satu acara tradisi tentera laut global di mana kapal-kapal dari pelbagai negara diperiksa secara rasmi oleh pemimpin negara.

Selama lima hari pameran berlangsung, pengunjung bakal disajikan dengan demonstrasi udara dan laut membabitkan:

  • 57 pesawat dari pelbagai negara,
  • 39 aset maritim termasuk kapal perang,
  • Penyertaan dari negara-negara seperti Brazil, Perancis, Itali, Singapura, Indonesia, dan Amerika Syarikat.

Penganjuran ini merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC), yang menekankan kepentingan inovasi serta daya saing industri pertahanan sejajar arus teknologi semasa.

Sejak edisi sulung pada tahun 1991, LIMA telah berkembang menjadi pameran maritim dan aeroangkasa terbesar di Asia Tenggara, menjadikannya medan utama untuk mempamerkan kekuatan dan kerjasama pertahanan serantau dan global.

#selangorgazette

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *