
Seorang tokoh perajurit tanah air.Insan hebat ini lahir di Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor.Ibu dan ayahnya berasal dari Bukittinggi, Sumatera Barat ( RanahMinangkabau ), dan telah merantau dan menetap di Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor.Beliau memperoleh pendidikan formalnya di Sekolah Melayu Kampung Sungai Ramal hingga lulus Darjah Enam.Bagi menambahkan ilmu pengetahuannya beliau memasuki Sekolah Agama di Jenderam selama dua tahun.
Leftenan Muda Adnan Saidi bersama-sama seorang sahabat sekampungnya, Ismail Bin Malim Mas meninggalkan kampung halamannya untuk memasuki angkatan tentera sebagai Rekrut Askar Melayu pada 1 Disember 1933.Beliau merupakan salah seorang daripada 50 orang rekrut Pengambilan Ke-3 Askar Melayu yang dilatih di Depot Askar Melayu Port Dickson.Lantaran kegigihan dan minatnya yang mendalam terhadap kerjaya pilihannya itu, beliau terpilih menjadi Rekrut Terbaik bagi sesi pengambilannya.Selepas lebih kurang tiga tahun berkhidmat, beliau dinaikkan pangkat sebagai Sarjan dan diberi peluang untuk mewakili Askar Melayu dalam Perbarisan Diraja sempena Pertabalan King George VI di London.
Disiplin, cara berpakaian dan cara bekerja Leftenan Muda Adnan sukar ditandingi.Beliau menamatkan Perkhidmatan Lain-Lain Pangkatnya sebagai seorang Pegawai Waran Dua di Depot Askar Melayu sebelum terpilih menyertai Latihan Pegawai Kadet di Singapura selama enam bulan pada tahun 1938.Beliau ditauliahkan menjadi pegawai dalam Askar Melayu dengan pangkat Leftenan Muda ke Batalion Pertama Askar Melayu.Pada tahun 1939, Leftenan Muda Adnan bersama pasukannya turut berpindah ke Singapura dan menyertai latihan peperangan hinggalah Perang Pasifik meletus.Selaku Ketua Platun 7 Kompeni C 1 Melayu, Leftenan Muda Adnan terlibat dalam mempertahankan Bukit Chandu, Pasir Panjang, Singapura daripada serangan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua.Beliau terus berada di dalam kubunya untuk menentang serangan tentera Jepun dan enggan menyerah-diri walaupun diminta berbuat demikian.
Leftenan Muda Adnan akhirnya ditawan oleh tentera Jepun setelah beliau kehabisan peluru.Jasad perajurit mulia ini dimasukkan ke dalam guni dengan digantung kaki ke atas di dahan sebatang pohon ceri berhampiran kubunya lalu ditikam bertubi-tubi dengan benet hingga mati oleh tentera Jepun bangsat pada tahun 1942.Adik lelakinya, Ahmad Saidi turut terkorban dalam kapal perang British Navy ketika berperang.Disebabkan keberanian dan kecemerlangan perkhidmatannya sewaktu menentang tentera Jepun di Singapura, kerajaan British menganugerahinya pingat Mentioned in Dispatches.Di samping itu, Allahyarham turut dianugerahi 1939-45 Star, Pacific Star, Defence Medal dan War Medal ( Record Office Part II Order No. 84/ 1, 16 September 1950 ).
Bissirril al-fatihah buat allahyarham Leftenan Muda Adnan Saidi yang gugur syahid dimedan pertempuran bagi mempertahankan kedaulatan tanahair sehingga ke titisan darah terakhir.
* Gambar Kenangan Allahyarham Leftenan Muda Adnan Saidi Dan Adik Lelakinya Ahmad Saidi Ketika Berada Di London Bagi Mewakili Askar Melayu Dalam Perbarisan Diraja Sempena Pertabalan King George VI.
Sumber : Sejarah Leftenan Muda Adnan Saidi ( Singapura Dan Malaysia )
