Sultan Sharafuddin tidak berkenan penternakan babi di Selangor

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tegas baginda yang tidak memperkenankan sebarang aktiviti penternakan babi, sama ada berskala besar mahupun kecil, dilaksanakan di mana-mana kawasan di Selangor.

Pendirian tersebut dinyatakan melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, susulan isu cadangan projek penternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Januari lalu mencadangkan supaya kerajaan Negeri Selangor membatalkan projek berkenaan. Perkara tersebut turut dibincangkan ketika Anwar menghadap Sultan Selangor pada 8 Februari lalu.

Pada 9 Februari, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan ketidaksetujuan beliau terhadap sebarang projek penternakan babi yang mendapat bantahan penduduk setempat atau berpotensi mencetuskan kontroversi awam.

Sehubungan itu, Mohamad Munir memaklumkan bahawa Sultan Selangor menyambut baik pendirian Perdana Menteri dan menegaskan baginda tidak berkenan penternakan babi kerana risikonya terhadap alam sekitar, termasuk pencemaran udara, pengeluaran bau tidak menyenangkan serta pencemaran sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan.

Baginda turut merujuk kepada cadangan projek di Bukit Tagar yang terletak berhampiran kawasan penempatan majoriti Melayu serta kawasan Felda, yang dijangka mencetuskan bantahan penduduk setempat.

Menurut kenyataan itu, projek berkenaan juga berpotensi mencemarkan kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Walaupun terdapat dakwaan bahawa teknologi moden mampu mengurangkan kesan pencemaran, Sultan Selangor menegaskan kos pelaksanaannya adalah terlalu tinggi dan sukar ditanggung, selain tiada jaminan sepenuhnya bahawa pencemaran dapat dielakkan.

Selain itu, Selangor juga berdepan kekangan tanah serta nilai hartanah yang tinggi, justeru baginda berpandangan aktiviti penternakan babi tidak sesuai dijalankan kerana tanah negeri lebih wajar dimanfaatkan untuk tujuan yang memberi pulangan ekonomi dan sosial kepada rakyat.

Sebagai alternatif, Sultan Selangor mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen pengimportan daging babi bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina di Selangor. Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada penternakan tempatan serta mengelakkan isu pencemaran dan konflik penduduk.

Dalam pada itu, baginda menegaskan isu penternakan babi perlu dimuktamadkan segera kerana ia menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan berpotensi menjejaskan keharmonian negeri.

Kenyataan tersebut turut menggesa semua pihak agar menghormati titah Sultan Selangor serta bersama-sama memelihara perpaduan dan ketenteraman di negeri itu.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *