
Dua aplikasi e-hailing berpengkalan di Rusia, InDrive dan Maxim, diarahkan menghentikan semua operasi di Malaysia bermula 24 Julai 2025, susulan pelanggaran serius terhadap syarat pelesenan di bawah undang-undang negara.
Menurut Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah menghantar surat rasmi penggantungan operasi kepada kedua-dua syarikat e-hailing terbabit.
“Berkuat kuasa 24 Julai ini, kedua-dua perkhidmatan tersebut tidak lagi dibenarkan beroperasi di negara ini. Mereka boleh mengemukakan rayuan, namun keputusan akhir hanya boleh dibuat oleh saya selaku Menteri Pengangkutan,” ujar beliau.
Kenyataan itu turut memperincikan aduan daripada komuniti penghantar tempatan, yang mendakwa kedua-dua platform tersebut terus beroperasi tanpa mematuhi undang-undang sedia ada.
Antara kesalahan utama yang dikenal pasti termasuk:
- Tidak memastikan pemandu mempunyai lesen PSV yang sah, seperti diwajibkan oleh undang-undang Malaysia.
- Tidak menyediakan Permit Kenderaan E-hailing (EVP) untuk kenderaan yang beroperasi di bawah platform mereka.
Perbuatan ini jelas melanggar syarat Lesen Pengendali Individu (IBL) dan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12D(1)(a) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang memberikan kuasa kepada APAD untuk membatalkan lesen mana-mana pengendali yang ingkar terhadap peraturan.
