
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak lagi meneruskan penajaan pengajian bagi pelajar peringkat ijazah pertama ke Asia Barat mulai tahun ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook JAIS hari ini berkata bagaimanapun penajaan bagi pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah masih diteruskan.
Beliau berkata penajaan bagi peringkat ijazah pertama akan diteruskan di Universiti Islam Selangor (UIS) atau universiti tempatan.
“Ketetapan ini dibuat bagi mengurangkan risiko pelajar terdedah kepada pengaruh dan anasir yang boleh mengganggu pemikiran serta jati diri pelajar jurusan Pengajian Islam Selangor di Asia Barat.
“Namun begitu, bagi pelajar persendirian yang tidak mendapat tempat di dalam negeri atau memilih untuk melanjutkan pengajian Islam di Asia Barat, mereka masih dibenarkan menyambung pengajian peringkat ijazah pertama di Mesir, Jordan dan Maghribi dengan pengurusan sepenuhnya dikendalikan oleh JAIS,” katanya.
