
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan salah satu inisiatif kerajaan Malaysia yang bertujuan untuk membentuk disiplin, jati diri, dan semangat patriotisme dalam kalangan belia. Ia memberi peluang kepada golongan muda untuk menyumbang kepada negara sambil memperkasa nilai kepimpinan dan kerjasama.
Pada 11 Mei yang lalu, PLKN memasuki fasa ketiga atau siri 3.0. Namun begitu, seramai 206 pelatih bagi Siri 2 PLKN 3.0 telah gagal untuk melaporkan diri di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang, seperti yang dijadualkan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Latihan) JLKN, Brigedier Jeneral Zainudin Bahari, pelatih yang tidak melaporkan diri akan diminta memberikan penjelasan munasabah. Kegagalan untuk mengemukakan alasan yang boleh diterima boleh mengakibatkan tindakan undang-undang, termasuk penjara atau denda, di bawah Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003.
Zainudin turut memaklumkan bahawa kes ini akan dibawa ke perhatian Majlis Latihan Khidmat Negara untuk tindakan selanjutnya terhadap keingkaran pelatih-pelatih terbabit.
#selangorgazette
